Kemampuan Khairul Idham, 17, mengejar satu demi satu pesaingnya selepas memulakan saingan dari petak ke-20 tidak terlalu mengejutkan ba­panya, Pawi Omar.

Menurut Pawi, anaknya, yang lebih mesra dipanggil Keon memang menggemari dan berkebolehan beraksi di litar yang basah.

“Dia seakan-akan memang menunggu hari hujan. Kalau hujan, dia akan capai jaket lumba dan berlatih di Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah.

“Mungkin disebabkan dia sudah biasa menunggang di trek basah, dia berkebolehan untuk berlumba dengan baik dalam kea­daan seperti itu.

“Hari ini, dia sekali lagi membuktikan, dia memang gemar trek licin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kemenangan di Jerman adalah yang kedua buat Khairul Idham selepas menawan GP Argentina pada April lalu.

Menurut Pawi, kemenangan kali ini lebih bermakna berbanding kejayaan sulung di Argentina kerana adalah sukar buat seseorang pelumba untuk mengulangi kejayaan yang sama.

“Alhamdulillah, ­syukur. Kemenangan ini untuk rak­yat berkat doa mereka yang mengharapkan Khairul berjaya dalam kariernya,” katanya.

Pawi turut gembira dan bersyukur dengan sikap anaknya yang mengelak daripada semburan minuman keras ketika meraikan kemenangan di atas podium.

“Dia turut bersyukur dengan kemenangannya dan mengucapkan Alhamdulillah ketika ditemubual. Bermakna dia ingat pesan emaknya,” kata Pawi.

Tambah Pawi, Khairul Idham pulang berhari raya di kampung baru-baru ini sebelum berlepas ke Jerman pada hari raya kelima.

Sepanjang hari raya, anaknya menggunakan kesempatan itu untuk bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Sepanjang di kampung dia tidak sempat berlatih, cuma menjalani latihan kecergasan,” katanya lagi.