Menurut portal sukan, Sky Itali, juara Serie A itu hanya bersetuju untuk menjual bintang Perancis tersebut jika United memenuhi tawaran rekod dunia bernilai 100 juta pound (RM526.12 juta).
Difahamkan, Juventus sudah menerima hakikat bahawa Pogba mahu meninggalkan Turin walaupun tawaran yang dituntut terlalu tinggi dan tidak dapat dipenuhi beberapa kelab utama, termasuk juara Eropah, Real Madrid.
United mengemukakan tawaran kepada Juventus dalam satu pertemuan melibatkan Naib Pengerusi Eksekutif kelab, Ed Woodward; ejen Pogba, Mino Raiola serta Ketua Pengurus dan Ketua Pengarah Eksekutif Juventus, Giuseppe Marotta.
Pogba ketika ini masih bercuti setelah terlibat dalam final Euro 2016 yang menyaksikan tuan rumah, Perancis tewas 1-0 kepada Portugal dan pemain itu dijangka kembali ke Turin pada 6 Ogos depan.
Jurulatih baharu United, Jose Mourinho baru-baru ini ada menyatakan kepentingan buat kelabnya itu mendapatkan empat pemain yang menjadi sasaran utama dan setakat ini mereka sudah mengikat Henrikh Mkhitaryan, Zlatan Ibrahimovic serta Eric Bailly.
Mourinho juga telah memberitahu Woodward supaya melakukan apa sahaja bagi mendapatkan semula Pogba yang dilepaskan secara percuma oleh kelab itu pada tahun 2012 untuk kembali ke Old Trafford.
Bekas pengurus United, Alex Ferguson membuat keputusan melepaskan Pogba, empat tahun lalu kerana tidak bersetuju dengan tuntutan gaji yang dibuat oleh pemain itu.
Namun, adalah menjadi satu kesilapan besar buat kelab itu kerana pemain berusia 23 tahun tersebut antara tonggak tengah terbaik dunia dan kini, dia mahukan gaji 15 kali ganda daripada nilai yang dibayar kepadanya di Old Trafford sebelum ini.
Skuad Red Devils kini berada di China untuk beraksi dalam jelajah pra-musim 2016-2017 dan bakal berdepan dengan Borussia Dortmund serta Manchester City dalam perlawanan persahabatan.
Mkhitaryan dan Bailly dimasukkan dalam senarai skuad ke China, namun United meninggalkan penyerang Sweden, Ibrahimovic.