United bersetuju dengan tuntutan Juventus yang mahukan 100 juta pound (RM537 juta) bagi mendapatkan khidmat bintang Perancis itu yang pernah menghabiskan dua tahun di Old Trafford pada awal kariernya.
Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward mencapai persetujuan selepas menjalankan urusniaga dengan pengarah Juventus, Giuseppe Marotta dan Fabio Paratici serta ejen Pogba, Mino Raiola.
Woodward tidak menyertai pusingan pertama jelajah pra-musim United di China bagi menguruskan perpindahan Pogba ke Old Trafford.
Jurulatih baharu Red Devils, Jose Mourinho mahu memastikan Pogba kembali menjalani latihan pra-musim United dan bukan Juventus.
Difahamkan, perjanjian tersebut juga termasuk penambahan 8 juta pound (RM42.93 juta) iaitu bonus bergantung kepada prestasi Pogba di atas padang.
Nilai perpindahan itu secara langsung memecahkan rekod sebelum ini yang dipegang oleh Real Madrid apabila kelab itu membeli Gareth Bale daripada Tottenham Hotspur dengan nilai 86 juta pound (RM461.46 juta) pada tahun 2013.
Perpindahan Pogba itu juga bermakna Raiola telah berjaya memujuk kliennya supaya menyertai semula kelab yang pernah ditinggalkannya pada tahun 2012 selepas beraksi untuk dua musim kerana jarang diturunkan oleh bekas jurulatih, Alex Ferguson.
Pogba yang kini berumur 23 tahun telah menjadi antara pemain muda terbaik di Eropah sepanjang beraksi di Juventus.
United pula tidak mempunyai masalah untuk membeli pemain yang pernah mereka lepaskan secara percuma sebelum ini dengan nilai perpindahan paling tinggi dalam sejarah bola sepak.
Bintang Perancis itu juga bakal menjadi pemain keempat yang dibeli Mourinho musim ini setelah mendapatkan khidmat Eric Bailly (pertahanan), Zlatan Ibrahimovic (penyerang) dan Henrikh Mhkitaryan (tengah).