Khairul Idham, 17, berkata beliau mengakui bukan senang untuk muncul juara dalam satu-satu perlumbaan, apatah lagi terpaksa bersaing dengan pelumba-pelumba yang lebih hebat.

“Perlumbaan amat sukar, bukan senang nak menang sama ada dalam jalan basah atau kering. Kemenangan ini adalah rezeki dan saya bersyukur,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Ketibaan pelumba yang berasal dari Batu Gajah, Perak dengan penerbangan Malaysia Airlines MH405 dari Dubai itu disambut meriah oleh anggota keluarga serta lebih 100 peminat yang memenuhi ruang menunggu di Balai Ketibaan dengan memegang poster ucapan tahniah.

Kemenangan Khairul Idham atau dikenali KIP pada perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal German pada 17 Julai lalu adalah yang kedua selepas menawan GP Argentina pada April lalu sehinggakan media melabelkan beliau pakar di litar basah.

Pada masa sama, Khairul Idham turut melahirkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana telah meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM100,000 untuk membantu melancarkan kariernya.

Bapanya, Pawi Omar sebelum ini dilaporkan meluahkan rasa terkilan berikutan tiada pihak membantu membiayai kos pegawai pengiring untuk anaknya itu sehingga mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri.

Difahamkan, Khairul Idham dijangka berehat lebih seminggu sebelum kembali menyambung menyertai pertandingan Kejohanan MotoGP Dunia pada 9 Ogos ini.