Selepas mengikat Zlatan Ibrahimovic, Eric Bailly dan Henrikh Mkhitaryan, Mourinho mahu melengkapkan pembelian pada musim perpindahan ini dengan mendapatkan pemain tengah bernilai 100 juta pound (RM534.9 juta), Paul Pogba dari Juventus sebelum perlawanan Perisai Komuniti berlangsung, dua minggu lagi.
Jika United berjaya mendapatkan Pogba, maka mereka bakal sarat dengan pemain tengah dan itu akan menyaksikan Schweinsteiger tidak lagi menjadi pilihan utama kerana Red Devils sudah pun memiliki Morgan Schneiderlin, Michael Carrick, Ander Herrera dan Marouane Fellaini.
Kapten Jerman berusia 31 tahun itu dikaitkan dengan kelab Turki, Besiktas dan gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) hanya setahun selepas berpindah ke Old Trafford dari Bayern Munich dengan yuran perpindahan 6.6 juta pound (RM35.3 juta).
Bekas jurulatih Bayern, Pep Guardiola yang bakal menentang Mourinho di Beijing esok apabila Manchester City bertemu United dalam jelajah pra-musim di China pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sudah tiga tahun Schweinsteiger tidak cergas sepenuhnya
Pada Mac lalu, pemain Jerman itu mengalami kecederaan lutut selepas hanya beraksi dalam 13 saingan Liga Perdana Inggeris.
Kedudukan Schweinsteiger menjadi semakin jelas apabila Mourinho tidak menyebut namanya ketika memberi alasan mengenai kekalahan 1-4 kepada Borussia Dortmund dalam aksi di Shanghai, Jumaat lalu.
“Tiada Ibrahimovic, tiada Fellaini, tiada Martial, tiada Schneiderlin.
“Kebanyakan daripada mereka belum ada lagi di sini,” kata Mourinho, ketika memberi alasan mengenai kekalahan Red Devils.
Pertahanan Argentina, Marcos Rojo yang tidak menyerlah dalam pertemuan menentang Dortmund antara pemain yang tergugat, terutama selepas kemasukan Bailly dari Villareal.
Pertahanan tengah Itali, Matteo Darmian juga hanya diturunkan sebagai gantian dalam perlawanan itu dan berpotensi dilepaskan oleh Mourinho, biarpun baru menyertai United dari Torino, musim lalu.
Persoalan yang sama turut membelenggu beberapa nama besar lain seperti Juan Mata, Memphis Depay, Adnan Januzaj dan Ashley Young.
Mourinho sebelum ini menjelaskan, kesemua pemain tengah itu mungkin kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama United pada musim baharu di bawah kendaliannya.