United sanggup bayar lebih untuk Pogba

By
Updated: July 26, 2016

LONDON 25 Julai – Meskipun Manchester United telah menaikkan lagi tawaran mereka kepada 110 juta euro (RM492.77 juta) dengan tambahan 10 juta euro (RM44.8 juta) untuk mendapatkan Paul Pogba, namun juara Serie A, Juventus mahukan penambahan sebanyak 10 juta euro lagi.
Pada masa sama, Juventus telah memaklumkan kepada United, pembelian Higuain dengan nila 95 juta euro (RM425.57 juta) tidak semestinya bermaksud kelab itu kini perlu menjual Pogba.
Difahamkan, ejen Pogba, Mino Raiola telahpun berbincang dengan pihak United dan bersetuju dengan syarat-syarat kontrak, terutama melibatkan gaji pemain itu, namun Red Devils perlu mengeluarkan wang lebih daripada apa yang ditawarkan setakat ini kepada Juventus bagi mendapatkan pemain yang mereka lepaskan secara percuma pada 2012.
Jika urusan perpindahan antara kedua-dua kelab berjaya mencapai persetujuan, Pogba akan meraih gaji 13.17 juta euro (RM58.97 juta) setahun, termasuk insentif yang diberikan United dan kekal bersama penajanya sebelum ini, selain hak penyiaran.
Pemain berusia 23 tahun itu yang mempunyai kontrak bersama Juventus hingga musim 2018/2019 itu kini sedang bercuti, tetapi tidak sabar untuk kembali ke Old Trafford meskipun kelab itu tidak layak beraksi dalam Liga Juara-Juara untuk musim depan.
Pogba akan menjadi pemain keempat yang dibeli United sejak Jose Mourinho mengendali kelab berkenaan walaupun pengurus baharu itu menekankan, dia mempunyai sasaran lain jika perpindahan tersebut gagal mencapai persetujuan.
Yuran yang akan dibayar kepada Raiola oleh United pula difahamkan meliputi 20 peratus daripada jumlah yang ditawarkan kepada Juventus tetapi maklumat terperinci berhubung urusan itu masih belum diputuskan.
Dua pemain yang berada di bawah pengawasan Raiola iaitu, Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitaryan sudah menandatangani kontrak untuk bersama United pada musim.
Sementara itu, perpindahan Higuain ke Turin akan disahkan sejurus selepas Juventus menepati tuntutan Napoli yang mahukan 94.7 juta euro (RM424 juta) untuk menjual penyerang Argentina tersebut.
Walaupun Higuain bakal menjadi pemain kedua paling mahal di dunia, namun Juventus tetap yakin yang mereka tidak perlu menjual Pogba untuk menambah dana bagi memastikan perpindahan penyerang Napoli itu ke kelab mereka berjaya diuruskan.