Keputusan seri itu sudah cukup untuk mengukuhkan kedudukan mereka selaku peneraju dengan mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Kedudukan kedua Kumpulan A pula dirampas oleh Terengganu FC II (TFC II) yang merekodkan kemenangan 2-0 ke Sarawak di Stadium Negeri sekali gus memberikan kelebihan jaringan bagi mengatasi JDT II di anak tangga ketiga.

Jaringan TFC II hadir pada minit ke-69 menerusi pemain import Patrick Cruz yang kemudian menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan itu pada masa kecederaan untuk memastikan skuad pantai timur itu membawa pulang tiga mata berharga.

Dalam perlawanan Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Felda United berjaya mengekalkan kedudukan peneraju selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United.

Melaka United yang tampil dengan aksi konsisten hampir berjaya mengikat The Fighters apabila mempertahankan kubu mereka hanya untuk kecewa pada penghujung perlawanan apabila Shukor Adan menanduk masuk ketika perlawanan berbaki dua minit.

Kemenangan itu meletakkan skuad Irfan Bakti Abu Salim di tangga teratas dengan enam mata namun mampu dipintas Terengganu dan Negeri Sembilan yang berjaya meraih tiga mata daripada dua perlawanan.

Kedua-dua pasukan itu akan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.