Tidak keterlaluan untuk me­ngatakan bahawa kemenangan Perak, yang kini kembali dibim­bing oleh Weigang, mampu menjadi titik tolak kepada kebangkitan mereka dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila berjaya menewaskan pasukan pilihan JDT.

Bagaimanapun, penyokong Perak tidak boleh terlalu bergembira dengan kemenangan tersebut kerana trofi Piala Malaysia bukanlah menjadi keutamaan kepada skuad Harimau Selatan yang mengutamakan Liga Super lantas meletakkan barisan kedua mereka untuk pertandingan merebut piala.

Selepas tiga perlawanan, JDT masih buntu dalam mencari kemenangan apabila mencatat seri dua kali sebelum tewas kepada Perak namun melihat kepada barisan kesebelasan utama yang diturunkan pada pertemuan semalam, itu bukan prestasi sebenar skuad Harimau Selatan.

Daripada tiga perlawanan itu, boleh dikatakan barisan kedua Harimau Selatan masih belum setanding dengan pemain-pemain utamanya membuatkan mereka masih gagal mencari kemena­ngan dalam Piala Malaysia.

Namun, dari sudut Perak pula, kemenangan tersebut sudah pastinya akan meningkatkan keyakinan mereka untuk pertemuan dengan skuad Mario Gomez sekali lagi di venue yang sama dalam kempen Liga Super pada Sabtu ini.

Dalam pada itu, satu lagi kejutan dalam kempen Piala Malaysia menyaksikan juara bertahan Selangor tewas tipis 1-0 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur dan situasi tersebut sudah pasti menambahkan lagi tekanan kepada jurulatih Red Giants, Zainal Abidin Hassan.

Selangor sepatutnya memanfaatkan peluang apabila menentang pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi namun keadaan sebaliknya berlaku dan kegagalan Red Giants mengutip sebarang mata telah membuka peluang kepada pasukan lain untuk mara ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, kisah berlainan dipamerkan oleh Terengganu selepas mereka gagal mencipta kemenangan. Walaupun pada satu ketika mendahului lawan namun terpaksa akur dengan kehebatan Negeri Sembilan yang bangkit daripada ketinggalan untuk mencipta kemenangan 2-1.

Apa yang pasti, keadaan tersebut sudah pasti membuatkan peminat Terengganu semakin runsing, mana tidaknya selepas dua jurulatih mereka direhatkan pada musim ini iaitu Ahmad Yusof dan Mike Mulvey namun prestasi pasukan masih di takuk sama.

Ini jelas menunjukkan tindakan merehatkan jurulatih bukanlah penyelesaian terbaik kepada masalah dihadapi skuad Penyu sebaliknya pihak pengurusan perlu menganalisis masalah pa­sukan terutama sikap pemain.

Kisah yang sama juga dikongsi oleh PKNS FC apabila mereka turut tewas biarpun pada satu ketika mendahului lawan sebelum tumpas 2-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kekalahan tersebut menjadikan sehingga kini skuad kendalian E. Elavarasan itu buntu mencipta kemenangan.

Dalam pada itu, selepas menerima sentuhan daripada pengendali baharu, Kelantan terus mempamerkan aksi konsisten apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur di gelanggang sendiri.

Sentuhan Velizar Popov nampaknya menjadi untuk Kelantan kerana ketika bertemu Selangor dalam kempen Piala Malaysia pada 20 Julai, skuad The Red Warriors (PQP TRW) mempamerkan aksi bertenaga dan tidak patah semangat sehingga mampu bangkit daripada daripada ke­tinggalan dua gol untuk akhirnya mengikat Red Giants 3-3.

Kedah pula semakin selesa mengungguli Kumpulan A biarpun terpaksa berkongsi satu mata dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada Jumaat lalu manakala Sarawak masih gagal mencipta kemenangan setelah tumpas 2-0 kepada Terengganu FC II (TFC II).

Aksi konsisten Melaka United dalam Liga Perdana gagal diteruskan dalam kempen Piala Malaysia setelah tumpas 1-0 kepada Felda United. Selepas tiga perlawanan skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris sekadar mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan.