Pengendali skuad muda Perak itu, Abu Bakar Fadzim mengakui bahawa konsistensi, semangat dan kemahuan yang tinggi dalam setiap diri pemain menjadi kunci kejayaan mereka mempertahankan pingat emas Sukma diraih untuk kali kedua berturut-turut dan yang ketiga dalam sejarah Sukma.
Malah, katanya, beliau sendiri kagum dengan skuadnya yang berjaya mengatasi cabaran dan rintangan yang dihadapi sebelum dan semasa temasya dwitahunan tersebut berlangsung.
“Saya nampak pemain mempunyai konsentrasi, semangat dan kemahuan tinggi untuk meraih kejuaraan ini. Apa yang saya arahkan mereka berjaya terjemahkan di dalam padang dan itu juga menjadi faktor kami berjaya menewaskan Wilayah Persekutuan.
“Akhirnya apa yang kami rancang berjaya dilaksanakan walaupun banyak cabaran yang ditempuhi termasuk penggantungan pemain dan persediaan yang sungguh singkat dalam hanya sebulan tetapi akhirnya kejuaraan ini dapat dipertahankan.
“Saya juga sangat kagum dengan skuad bola sepak Sukma 2016 Perak yang menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mempertahankan pingat emas ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung semalam, satu gol oleh Harris Roslee dan Muhammad Aiedil Shafiq Aznan membolehkan Perak menewaskan Wilayah Persekutuan 2-0 di Stadium Sarawak.
Bekas pemain Perak itu juga turut menjelaskan bahawa beliau kini berasa sangat lega apabila mencapai misi yang disasarkan sekali gus menghilangkan bebanan yang dipikul sebelum Sukma berlangsung.
“Lega beban itu sudah habis dan akhirnya saya dapat melaksanakan misi ini dengan baik. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini.
“Saya rasa dalam aksi final kita perlu menerapkan disiplin tinggi dari segi bertahan dan menyerang. Gol pertama telah menyemarakkan semangat pemain dan gol kedua menambah keyakinan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Wilayah Persekutuan, Sulaiman Hussin tetap memuji kejayaan anak didiknya di atas kejayaan mara ke perlawanan akhir dan mengakui Perak beraksi lebih baik daripada pasukannya dalam final semalam.
“Tahniah kepada Perak, mereka memang layak menang kerana beraksi lebih baik daripada pemain saya. Jika kami beraksi di tahap sebenar kemungkinan besar kami mampu memberi saingan lebih baik.
“Apa pun tahniah kepada semua pemain dan pengurusan serta pihak yang terlibat kerana berjaya berganding bahu membawa pasukan hingga ke tahap ini,” ujarnya.
Pemain Perak telah dijanjikan ganjaran percutian di Phuket, Thailand selama lima hari berserta wang RM5,000 seorang. Malah sebelum perlawanan akhir bermula setiap daripada mereka telah menerima RM6,000.