Walaupun tersentak dengan gol pembukaan Perlis oleh Mohd. Alafi Mahmud pada minit ke-17, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan dan kemudian mendahului menerusi dua jaringan pemain dari Montenegro, Ilija Spasojevic pada minit ke-19 dan 41 sebelum penyerang dari Palestin, Yashir Pinto melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah pada minit ke-54.
Kejayaan itu menyaksikan Melaka United selesa di kedudukan teratas dengan 39 mata namun Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mengekori di anak tangga kedua dengan 34 mata selepas mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas UiTM.
Aksi di Stadium UiTM menyaksikan penyerang JDT II, Paulo Rangel dari Brazil menampilkan aksi luar biasa dengan meledak empat gol pada minit ke-61, 66, 83 dan pada masa tambahan manakala gol saguhati tuan rumah disumbangkan Moustapha Belibi pada minit ke-63.
PKNS berjaya meraih tiga mata penting selepas berjaya menundukkan Kuantan FA 3-2 dalam aksi di Stadium Darul Makmur.
PKNS terlebih dahulu berada di hadapan menerusi dua jaringan Juan Cobelli namun tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan selepas meraih dua gol pada minit-minit akhir menerusi Abdul Malik Ariff.
Pasukan pelawat akhirnya berjaya meraih mata penting apabila berjaya meraih gol ketiga pada masa kecederaan menerusi pemain Argentina, Gabriel Guerra.
DRB Hicom turut meraih tiga mata penting selepas menundukkan Sime Darby 2-0 dalam aksi di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Pasukan tuan rumah meraih dua jaringan pemain dari Croatia, Ivan Babic pada minit ketiga dan ke-62.
Aksi di Stadium Temerloh menyaksikan ATM terikat dengan keputusan 3-3 dengan Kuala Lumpur manakala aksi di Stadium Likas di antara Sabah dengan Negeri Sembilan turut berkesudahan seri tanpa jaringan. – UTUSAN ONLINE
Keputusan
———–
Melaka United 3-1 Perlis
UiTM 1-4 JDT II
DRB-Hicom 2-0 Sime Darby
Sabah 0-0 Negeri Sembilan
Kuantan FA 2-3 PKNS
ATM 3-3 Kuala Lumpur