Keputusan tersebut yang diluluskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dibuat bagi menarik lebih ramai penonton golongan muda.

Lima sukan tambahan itu bagaimanapun tidak mengganggu mana-mana 28 sukan yang sudah dijadualkan berlangsung di Tokyo, dengan tambahan 18 acara itu bakal melibatkan beratus-ratus atlet.

Besbol dan bola lisut pernah diundi bagi menyertai Olimpik pada 1992 dan 2008, namun bidaan tersebut gagal.

Lima sukan yang disyorkan penganjur temasya 2020, Tokyo pada Julai lalu disambut baik dan sebulat suara disokong Lembaga Eksekutif IOC, dengan menyifatkan mereka sebagai pakej yang dinamik dan menarik semasa sidang IOC ke-129 semalam.

IOC berharap langkah inovatif tersebut sekurang-kurangnya dapat menarik tumpuan kemasukan sukan berorientasikan belia.

“Kami mahu bawakan sukan kepada golongan belia. Dengan pelbagai pilihan sukan yang dimiliki golongan muda kini, kita tidak boleh anggap mereka akan datang kepada kita secara automatik.

“Tetapi kita sendiri yang akan pergi kepada mereka,” kata Presiden IOC, Thomas Bach.