Stadium Maracana yang menjadi ikon Brazil bakal menghimpunkan lebih 70,000 penonton, 10,400 atlet dan ramai pemimpin dunia dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik pertama dianjurkan di benua Amerika Selatan.
Upacara pembukaan tersebut bakal menjadi tanda bermulanya temasya tertua di dunia itu selama dua minggu di kota Brazil ini, yang akan menyajikan kecemerlangan sukan serta aksi dramatik daripada bintang ternama dunia.
Penganjur berharap kemeriahan temasya dan rentak tarian samba yang menakjubkan di Maracana mampu menceriakan hati rakyat di seluruh negara.
“Saya berharap upacara pembukaan ini mampu menjadi penawar tekanan kepada Brazil,” kata salah seorang pengarah persembahan kreatif yang merupakan pembikin filem tersohor, City of God, Fernando Meirelles.
Persembahan semasa upacara pembukaan itu bakal membawa mesej toleransi dan penjagaan alam sekitar ke atas planet yang bermasalah, kata Meirelles.
“Dunia kian menekan. Seluruh dunia dapat merasai tekanan tersebut,” jelas pengarah berkenaan yang merujuk kepada kebangkitan calon Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan keputusan mengejut Britain meninggalkan Kesatuan Eropah.
Upacara pembukaan esok bakal menyaksikan obor mula dinyalakan sehingga 17 hari temasya berlangsung di beberapa mercu tanda dan lokasi popular di Rio.
Antaranya sukan pelayaran dan akuatik yang akan bertanding di venue yang terletak berhampiran Gunung Sugarloaf, sementara pantai keemasan Copacabana bakal menjadi tuan rumah untuk sukan bola tampar pantai.
Bagaimanapun, temasya Olimpik Rio akan bermula di tengah-tengah bandar raya ini menghadapi pelbagai masalah termasuk jenayah yang meningkat, pengangguran dan krisis kesihatan oleh virus Zika.
Krisis politik yang membawa kepada pemecatan Presiden Dilma Rousseff, bermakna beliau tidak akan menghadiri upacara yang akan berlangsung esok. Presiden sementara Michel Temer akan mengambil alih tempat Rousseff tetapi mungkin mendapat sambutan buruk daripada penonton.
Permulaan Olimpik kali ini juga dibayangi oleh skandal doping Rusia yang telah menyebabkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Agensi Antidoping Dunia (WADA) berpecah.
Sementara itu pingat emas pertama akan diserahkan esok menerusi acara menembak. Namun perhatian sudah tentunya kepada bintang renang Amerika, Michael Phelps yang merupakan atlet paling menyerlah dalam sejarah Olimpik.
Acara olahraga akan menyaksikan bintang dari Jamaica, Usain Bolt berusaha memenangi pingat emas 100m, 200m dan 4x100m untuk kali ketiga berturut-turut.
Gelanggang gimnastik pula berkemungkinan mendapat bintang baharu iaitu Simone Biles dari Amerika Syarikat.