Brazil seri, Neymar kena ejek

By
Updated: August 6, 2016

RIO DE JANEIRO 5 Ogos – NEYmar diejek oleh peminat Brazil selepas pasukan yang diketuainya gagal menjaringkan gol dan sekadar seri 0-0 dengan Afrika Selatan dalam perlawanan bola sepak Kumpulan A Sukan Olimpik Rio hari ini.
Brazil, yang tidak pernah memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik, menyenaraikan tiga pemain bintang mereka iaitu Neymar, pemain baharu Manchester City, Gabriel Jesus serta penyerang Santos, Gabriel Barbosa yang dijangka menyertai kelab Eropah sebelum musim perpindahan tamat.
Dalam perlawanan tersebut, Brazil mengasak kubu lawan bertubi-tubi namun tiada satu gol pun berjaya dihasilkan.
“Itulah bola sepak. Adakalanya bola tidak berjaya menembusi gawang,” kata Barbosa.
Penjaga gol Afrika Selatan, Itumeleng Khune dipaksa bekerja keras untuk menghalang asakan berbahaya daripada Brazil selepas penyerang Barcelona, Neymar memiliki dua peluang terbaik untuk menembusi gawang lawan.
Jesus hampir menjaringkan gol namun percubaannya gagal menemukan sasaran dan Barbosa harus memperbaiki skilnya apabila mensia-siakan peluang terbaik meskipun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan.
Majoriti peminat tuan rumah meninggalkan Stadium Nasional di Brasilia dengan rasa hiba selepas dua perlawanan Kumpulan A tamat tanpa sebarang gol.
Dalam satu lagi perlawanan, Iraq dan Denmark seri tanpa jaringan di venue yang sama.
Gol pertama yang dihasilkan dalam acara bola sepak sewaktu Honduras menumpaskan Algeria 3-2 dalam aksi Kumpulan D.
Perlawanan bola sepak dalam Temasya Olimpik berlangsung di Rio de Janeiro dan enam lagi bandar negara itu.