Pelumba sensasi kelahiran Terengganu yang membuat penampilan ketiga di temasya Olimpik itu berkata, persediaannya kali ini juga lebih baik berbanding London 2012 melalui kem latihan intensif di Portugal selama sebulan bersama jurulatih, John Beasly.
Diberikan jolokan Pocketrocketman, Azizulhasni merasakan dirinya berada pada tahap yang terbaik dan tidak sabar untuk menggegarkan hari pertandingan dalam acara keirin pada 16 Ogos ini.
“Dua tahun lepas saya menaiki podium sewaktu Kejuaraan Dunia di Paris dan pada kejohanan yang sama tahun ini saya berjaya mendapatkan pingat gangsa dan hampir merampas kedudukan kedua.
“Berdasarkan prestasi tersebut saya rasa sudah berada di landasan yang betul dan kalau kita tengok, pelumba-pelumba yang beraksi pada Kejuaraan Dunia turut beraksi di Olimpik Rio, cuma mungkin ada penambahan dua atau tiga muka baharu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Azizulhasni menegaskan Sukan Olimpik Rio 2016 bukanlah penampilan terakhir buatnya yang kini mencecah usia 28 tahun,
Sebaliknya kata Azizulhasni, peringkat umur berkenaan merupakan satu permulaan untuk dia menguasai sukan tersebut.
“Ini merupakan peringkat umur yang matang dalam sukan elit seperti basikal trek. Malah umur Chris Hoy (jaguh basikal trek Britain yang telah bersara) ketika dia menang pingat emas pertama Olimpik juga lebih kurang saya dan dia mula mendominasi sukan ini ketika berusia 30 tahun,” katanya.
Bagi Azizulhani , dia kini berada dalam keadaan yang sana cuma ia mungkin mengambil masa untuk berada di puncak.
“Sesi latihan saya sentiasa meningkat setiap tahun, saya dapat rasakan saya kini sudah berada pada tahap yang lain,” katanya dengan penuh keyakinan.