Perenang sensasi Amerika Syarikat (AS) itu memenangi persaingan dengan Masato Sakai dari Jepun untuk mempertahankan kejuaraan 200 meter kuak kupu-kupu lelaki.
Sejurus tamat perlumbaan, Phelps meraikan kemenangan dengan penuh emosi apabila meletakkan jari di leher sebagai tanda ‘tugas saya sudah selesai’.
Dia kemudian mengangkat kedua tangan dan menunjuk isyarat kepada penonton agar terus membuat bunyi bising.
Phelps yang mencatat masa 1 minit, 53.36 saat ketika menjuarai saingan 200m kuak kupu-kupu tidak menunggu lama untuk menambak koleksi pingat.
Beberapa minit kemudian, dia turun ke kolam sekali lagi dan membantu kuartet 4x200m gaya bebas AS menewaskan Britain dengan catatan 7:00.66s.
Koleksi 21 emas yang dikumpul dalam tiga Olimpik membolehkan perenang berusia 31 tahun itu menjadi Olimpian paling berjaya abad ini.
Malah, dia boleh menambah kilauan emas apabila bertanding dalam 200m rampaian dan 100m kuak kupu-kupu.
“Saya benar-benar memerlukan kemenangan.
“Ada beberapa situasi tidak dimahukan berlaku menuju penamat, saya beritahu diri saya, kalau saya terpaksa melakukan separuh kuakan, maka saya kena lakukannya, biarpun ia mungkin menjejaskan harapan emas saya.
“Saya gembira kerana berjaya memenangi perlumbaan dan lebih menggembirakan apabila saya turut membantu pasukan berganti-ganti,” ujar Phelps.
Penonton di Stadium Akuatik Olimpik hari ini turut dihiburkan dengan kecemerlangan ‘wanita besi’ Hungary, Katinka Hosszu meraih emas ketiga di Rio dalam 200m rampaian individu.
Hosszu, 27, memecah rekod Olimpik dengan masa 2:06.58s ketika menewaskan Siobhan-Marie O’Connor dari Britain (2:06.88s).
Dia sebelum itu turut memenangi acara 100m kuak lentang dan 400m rampaian, malah memecah rekod dunia dalam 400m rampaian (4:26.36s).
Perenang remaja AS, Katie Ledecky pula memenangi emas keduanya dalam 200m gaya bebas dengan catatan 1:53.72s, hanya 0.35s mengetepikan pencabar rapat dari Sweden, Sarah Sjostrom.